Fizo Omar Jual Serunding Daging Resepi Keluarga




Fizo Omar Tauke Serunding. Mahu Eksport Ke Luar Negara
Fizo yakin serunding daging dapat diterima oleh masyarakat luar.
PETALING JAYA: Pelakon Fizo Omar berhasrat untuk mengeksport serunding daging resepi milik keluarganya ke peringkat antarabangsa sebagai salah satu usaha memperkenalkan makanan itu kepada masyarakat luar.
Fizo, 27, berkata, dia yakin makanan yang popular ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri itu boleh dibawa ke luar negara dan dikomersilkan.
"Buat masa ini saya menyasarkan untuk mengeksport serunding jenama saya itu ke negara seperti Singapura, Brunei dan Indonesia dan jika semuanya berjalan lancar barulah ia diperluaskan ke tempat lain," katanya 
Tambah Fizo, sepanjang Ramadan lalu juga dia turut menjadi pemborong dan mengedar di beberapa kawasan selain menjual sendiri serunding daging di gerai yang terletak di Jalan Tunku Abdul Rahman, (TAR) Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Fizo teruja apabila serunding daging tersebut berjaya dijual sebanyak 2,000 kilogram pada bulan Ramadan sahaja bersamaan dengan 100 ribu paket.
Fizo memberitahu kejayaan setiap paket yang dijual dengan harga RM15 (250 gram) dan RM30 (500 gram) itu adalah bukti permintaan terhadap makanan itu tinggi dan menguntungkan.
"Saya sendiri terkejut kerana 100 ribu paket berjaya dijual dan atas dasar itu juga ia telah menaikkan semangat saya untuk memasarkan serunding daging ini ke peringkat lebih tinggi," katanya.
Sementara itu, Fizo memberitahu selain pelan mengeksport serunding daging ke luar negara, dia juga bakal muncul dengan buku resepinya sendiri iaitu Air Tangan Fizo yang menghimpunkan resepi kegemaran pelakon muda itu.
Malah kata Fizo, dia juga merancang untuk mengeluarkan beberapa jenis produk makanan dibawah labelnya pada masa akan datang.
"Saya melihat industri makanan sangat sesuai dengan saya dan sebab itu saya cuba buat perkara yang berkaitan makanan tambahan pula ia berpotensi untuk berkembang dengan cepat.
"Tetapi itu bukan alasan untuk berpeluk tubuh dan menunggu kejayaan datang kerana banyak perkara perlu dilakukan sebelum boleh berjaya," katanya.
Dalam perkembangan lain, Fizo memberitahu bakal muncul dengan filem Minyak Daguarahan Azahari Zain, Azazil (Khanir Bhatia) selain bakal muncul dengan drama bersiri berjudul Julia untuk slot Akasia di TV3.


Responses

0 Respones to "Fizo Omar Jual Serunding Daging Resepi Keluarga"

Return to top of page Copyright © 2013 | ambooyat.com