Bajet 2013: Diskaun Bayaran PTPTN Sehingga 20 Peratus




Bajet 2013: Diskaun Bayaran PTPTN Sehingga 20 Peratus. Beberapa insentif berupa pemberian diskaun akan diperkenalkan bagi memudahkan proses pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata insentif pertama adalah diskaun 20 peratus daripada jumlah pinjaman kepada peminjam yang menyelesaikan hutang sekali gus dalam tempoh setahun bermula 1 Okt 2012 hingga 30 Sept 2013.

"Manakala, bagi mereka yang membayar pinjaman secara konsisten mengikut jadual mulai 1 Okt 2012, diskaun 10 peratus setahun akan diberikan," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat hari ini.

"Ia adalah satu keistimewaan, bukan satu hak. Jika hutang PTPTN tidak dibayar, ia akan menafikan hak-hak pelajar masa depan," katanya.
Sehingga Februari lepas, PTPTN telah meluluskan pinjaman kepada 1.95 juta pelajar untuk melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara, membabitkan peruntukan lebih RM44 bilion.

Daripada jumlah itu, kira-kira 70 peratus daripada peminjam tabung itu telah melunaskan pinjaman masing-masing berikutan pendekatan PTPTN yang memperkenal kaedah bertolak ansur dan memujuk untuk membayar hutang.


Bagi menggalakkan sikap menabung untuk pendidikan, Perdana Menteri berkata pelepasan cukai sebanyak RM3,000 bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sedia ada juga akan dinaikkan kepada RM6,000. - BERNAMA


Responses

0 Respones to "Bajet 2013: Diskaun Bayaran PTPTN Sehingga 20 Peratus"

Return to top of page Copyright © 2013 | ambooyat.com