Pencuri Beraya Di Rumah Imuda, Sempat Makan Kuih Raya




Pencuri beraya di rumah Imuda. Kelakar juga sempat lagi bancuh air sirap dan menjamu kuih raya.
KUALA LUMPUR - Rumah pelawak dan pelukis terkenal, Imuda dipecah masuk oleh sekumpulan pencuri yang sempat menjamu selera sebelum lesap dengan barangan serta wang tunai yang kesemuanya bernilai RM7,000 di Taman Datuk Ahmad Razali di sini baru-baru ini.
Kejadian itu hanya disedari oleh Imuda atau nama sebenarnya, Abdul Rahim Muda, 52, pukul 3 petang kelmarin selepas beliau bersama tiga ahli keluarganya pulang daripada bercuti raya di Pulau Pinang sejak 10 hari lalu.
Apa yang mengejutkan Imuda, kumpulan pencuri itu sempat membancuh beberapa gelas air sirap serta menjamah kuih raya yang diletakkan di dapur sebelum mereka menghilangkan diri.
Katanya, sebelum lari, mereka telah menggeledah rumah teres dua tingkat yang dihuni oleh keluarga Imuda sejak setahun lalu.
"Seluruh rumah termasuk kelima-lima bilik berselerak. Saya percaya kejadian ini dilakukan oleh tiga hingga empat orang.
"Setelah memeriksa persekitaran rumah, saya yakin penyamun berkenaan masuk ke dalam rumah setelah mengumpil jeriji besi di ruang tamu rumah dengan pemutar skru," katanya yang mula dikenali menerusi sitkom komedi Pi Mai Pi Mai Tang Tu pada tahun 1980-an.
Beliau membuat laporan di Balai Polis Ampang Jaya dengan melaporkan kehilangan komputer bimbit, empat utas jam tangan, tiga buah telefon bimbit serta wang tunai RM300.


Responses

0 Respones to "Pencuri Beraya Di Rumah Imuda, Sempat Makan Kuih Raya"

Return to top of page Copyright © 2013 | ambooyat.com