Muhdalena, wanita mengamuk Putrajaya pakai topeng Power Rangers




Muhdalena wanita mengamuk Putrajaya pakai topeng Power Rangers.
PUTRAJAYA – Wanita yang cedera ditembak dalam kejadian amuk di Jabatan Perdana Menteri (JPM) bulan lalu menarik perhatian ramai apabila memakai topeng Power Rangers sebagai taktik bagi mengelak wajahnya dirakam.
Tertuduh Muhdalena Ahmad, 28, berkelakuan sedemikian ketika hadir bagi mendengar sebutan kali pertama kesnya di Mahkamah Sesyen Putrajaya di sini semalam.
Dalam prosiding itu, Hakim Mohd. Kafli Che Ali memberi tempoh selama sebulan kepada Muhdalena, 28, untuk melantik peguam bela sebelum tarikh perbicaraan ditetapkan dalam tempoh 90 hari.
Mohd. Kafli memutuskan demikian untuk memberi peluang kepada tertuduh menyelesaikan semua urusan dokumentasi bagi kes pembelaan secepat mungkin, sekali gus membolehkan pihak pendakwaan memulakan perbicaraan.
Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 12 September depan bagi tarikh sebutan semula kes itu untuk tertuduh melantik peguam.
Muhdalena Ahmad
Muhdalena yang hadir berpakaian baju kurung dan bertudung merah dilihat tenang sambil mengangguk faham ketika mendengar arahan Mohd. Kafli itu.
Ditemani bapanya, Ahmad Adam, 55, ibu kepada dua anak itu dilihat memakai topeng mainan Power Rangers sejurus prosiding selesai bagi mengelak wajahnya dirakam jurugambar di luar mahkamah.
Tertuduh sebelum ini mengaku tidak bersalah ketika didakwa kali pertama pada 16 Julai lalu di bilik wad, Hospital Putrajaya atas dua pertuduhan melakukan ugutan jenayah kepada anggota polis, Ridzuan Megat Ahmad dan membawa senjata iaitu sebilah pedang.
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Kompleks B, JPM, Presint 1, Putrajaya kira-kira pukul 2.30 petang, 9 Julai lepas.
Dalam kejadian tersebut, seorang lelaki, Khalil Afandi Abd. Hamid, 47, yang menggelar dirinya Imam Mahadi terkorban.
Bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sementara itu, bagi pertuduhan membawa pedang, Muhdalena didakwa mengikut Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dia diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu.
Amuk di JPM
   
Pada kejadian tersebut, dia bersama dengan Khalil Afandi Hamid, 47, mengamuk di pekarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya kira-kira jam 2.30 petang, namun Khalil mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas terkena tembakan di tangan dan bahagian ari-ari, manakala Muhdalena turut terkena tembakan di paha kanan.


Responses

0 Respones to "Muhdalena, wanita mengamuk Putrajaya pakai topeng Power Rangers"

Return to top of page Copyright © 2013 | ambooyat.com