Syarat Maaf Neelofa Kepada Anzalna "Anzalna tidak boleh menyebut nama saya lagi"




#07 Sekitar Sidang Media Anzalna Nasir & Neelofa, Royale Bintang
KUALA LUMPUR, 3 JULAI 2012: Pelakon dan pengacara, Neelofa atau Neelofa Mohd Nor akui telah menetapkan syarat sebelum Anzalna Nasir bersetuju memohon maaf.
Neelofa berkata dia telah menetapkan beberapa syarat kepada Anzalna sebagai jaminan agar pelakon Indra Joned itu memohon maaf secara ikhlas kepadanya dan bukan dilakukan kerana terpaksa.

Namun Neelofa tidak dapat mendedahkan kesemua syarat-syarat yang ditetapkan, sebaliknya menyatakan salah satu daripada syarat yang diberikan.
"Antara syarat-syarat yang dikemukakan adalah Anzalna tidak boleh menyebut nama saya lagi di mana-mana temuramah atau di laman-laman sosial seperti Facebook dan Twitter, mahu pun di blog-blog serta tidak boleh memanjangkan lagi hal ini," katanya selepas sidang media yang menemukannya dengan Anzalna di Hotel Royale Chulan, petang semalam.

Walau bagaimanapun, Juara Dewi Remaja 2010 itu berkata dia berasa lega kerana konflik yang berlaku di antaranya dengan pelakon, Anzalna sejak sebulan lalu akhirnya dapat diselesaikan dengan cara baik.
Malah, permohonan maaf yang diadakan hari ini telah dapat membersihkan semula bukan sahaja namanya malah maruah keluarganya.

"Alhamdulillah, dari awal lagi keluarga saya sentiasa disisi untuk memberi nasihat dan sokongan. Mereka juga ada bertanya mengapa saya masih lagi berlembut hati untuk menerima maaf ini.
"Pada saya, saya lakukan ini dan sanggup terima permohonan maafnya kerana saya tak nak isu ini berpanjangan. Malah, dari awal lagi saya dah ada perancangan di mana jika tuntutan sebelum ini tidak berjaya djawab, saya akan beri peluang dan pilihan untuk dia(Anzalna) meminta maaf secara terbuka.
Kedua-dua bekas Dewi Remaja 2010 ini telah dipertemukan dalam satu sidang media oleh Seniman bertujuan untuk mendamaikan serta menyelesaikan kemelut yang berlaku di antara mereka berdua.

Walau bagaimanapun, selepas berakhirnya sidang media tersebut, kedua-duanya seolah-olah mengelak ketika diminta untuk bersalaman dan begambar bersama, sebaliknya terus bersurai membawa haluan masing-masing.
Neelofa yang sempat ditanya oleh media mengenai tindakkannya itu memberitahu dia hanya mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak Seniman.

"Apa saja prosedur yang berlaku hari ini adalah kuasa Seniman. Maksudnya mereka tidak mahu adakan sebarang sesi soal jawab dan bergambar kerana tidak mahu perkara ini lebih berpanjangan", katanya.
Dalam pada itu, Neelofa yang akui sudah menerima maaf tersebut dengan hati yang rela itu berkata dia tiada masalah untuk bekerjasama dengan Anzalna selepas ini.

"Kalau saya berpeluang bekerjasama dengan Anzalna selepas ini, saya rasa kisah peribadi kami ini akan saya letak ke tepi dan saya akan pentingkan hasil kualiti kerja dulu. Jika ada pengarah yang mahu kami berlakon bersama dan jalan ceritanya pula bagus, saya tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan dia," katanya,


Responses

0 Respones to "Syarat Maaf Neelofa Kepada Anzalna "Anzalna tidak boleh menyebut nama saya lagi""

Return to top of page Copyright © 2013 | ambooyat.com