Hafiz AF Disaman RM200,000 Mencederakan Wanita




KUALA LUMPUR — Penyanyi Hafiz AF yang popular dengan lagu ”Awan Nano” hari ini disaman oleh bekas pengurus pentas sebuah rancangan hiburan di Astro atas dakwaan menyebabkan kecederaan kepadanya.
Nur Haniza Mohd Azhar, 25, selaku plaintif menamakan Hafiz atau nama sebenarnya Mohd Hafiz Mohd Suip, 22, yang juga juara Akademi Fantasia ke-7, sebagai defendan bagi menuntut ganti rugi lebih RM200,000.
Beliau memfail saman itu di pejabat pendaftar Mahkamah Sesyen di sini, menerusi Tetuan Boestamam Ahmad & Co.
Dalam pernyataan tuntutannya, Nur Haniza mendakwa beliau didatangi Mohd Hafiz yang menepuk bahunya dari belakang dan menyatakan hasrat untuk berjumpa dengannya secara paksa ketika beliau menjalankan tugas sebagai pengurus pentas untuk rancangan Salih Yaacob Show di Studio Filem Negara pada 3.15 petang, 17 Mei tahun lepas.
Nur Haniza mendakwa beliau menolak pelawaan itu dengan baik kerana sedang sibuk melakukan tugasannya tetapi beliau tetap didesak Mohd Hafiz untuk berbincang mengenai suatu perkara.
Nur Haniza, yang kini bekerja sebagai penasihat jualan di syarikat permotoran, mendakwa ketika beliau menuruni tangga studio untuk meneruskan tugasnya, Mohd Hafiz bertindak agresif dengan menolaknya sehingga terjatuh ke bawah dan tersungkur di hadapan rakan sekerjanya. — BERNAMA


Responses

0 Respones to "Hafiz AF Disaman RM200,000 Mencederakan Wanita"

Return to top of page Copyright © 2013 | ambooyat.com