Alyah Bakal Mendirikan Rumahtangga Hujung Tahun Ini?





Selepas Alyah membuat pengakuan yang dia dan Datuk Ramli MS sedang berkawan dan dalam proses mengenali hati- budi masing-masing, penyanyi ini tidak putus-putus menjadi buruan pihak media yang inginkan komen lanjut. Malah, timbul spekulasi mendakwa penyanyi ‘Kisah Hati’ ini akan mendirikan rumah-tangga pada penghujung tahun ini.  Walaubagaimanapun, Alyah menafikan perkara ini.

Peluang bertemu dengan Alyah pada sesi fotografi Raya kelmarin, GUA terpanggil untuk bertanya tentang penerimaannya terhadap gosip yang sedang berterbangan ketika ini. Jelas Alyah, dia sebenarnya berasa tidak seronok dan terkilan dengan situasi yang sedang berlaku.

“Saya sebenarya tidak seronok apabila kisah saya ini cuba disensasikan oleh sesetengah pihak. Inilah sebabnya saya tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan sebelum ini. Saya bimbang perkara sebegini berlaku dan terbukti ianya benar. Sebaik sahaja saya keluarkan kenyataan, berbagai-bagai cerita yang timbul, sedangkan saya sudah jelaskan kami sedang berkawan dan sedang mengenali hati-budi masing-masing.

Selepas ini saya tidak mahu lagi komen tentang isu ini kerana saya mahu peminat mengikuti perkembangan karier saya, bukan cerita-cerita peribadi. Lagipun, banyak hati yang perlu saya jaga. Saya tidak mahu dengan laporan yang keluar, ada hati yang terguris. Ini kerana saya dapati, ada sesetengah cerita yang keluar tidak tepat, tidak seperti yang saya cakap,” luah Alyah 
Dalam masa yang sama, Alyah juga sempat memohon ampun dan maaf kepada pihak media dan juga peminat kerana tidak mampu untuk bercerita lanjut tentang hubungannya dengan Ramli MS.

“Harap peminat faham dengan situasi saya. Kenyataan saya sebelum ini hanya sekadar ingin berkongsi cerita supaya orang tidak terus tertanya-tanya tentang status hubungan kami. Tapi ada artikel yang ditulis seolah-olah ingin menjatuhkan maruah saya dengan menokok-tambah cerita. Cukuplah dengan segala cerita yang keluar. Saya memang sudah tidak mahu berbicara mengenainya dan saya mahu fokus pada karier nyanyian sahaja,” ujar Alyah berterus-terang.

sumber: GUA


Responses

0 Respones to "Alyah Bakal Mendirikan Rumahtangga Hujung Tahun Ini?"

Return to top of page Copyright © 2013 | ambooyat.com