Alyah Telan Vitamin Untuk Kurus



Alyah Telan Vitamin Untuk Kurus


Foto ini dirakamkan ketika penggambaran segmen Stailista untuk program Propaganza di Hotel InterContinental baru-baru ini. Lihatlah betapa langsingnya tubuh dan kecilnya wajah Alyah selepas mengalami penurunan berat badan mendadak.

Malah kerana dia terlalu kurus, ada sesetengah pihak telah membuat spekulasi mendakwa penyanyi Kisah Hati itu telah mengambil dadah, sekali gus telah mengakibatkan bentuk fizikalnya berubah. Namun Alyah, berkata dia terlalu sibuk bekerja sehingga menyebabkan berat badannya susut secara mendadak. Malah menurut pengurus Alyah iaitu Syuib Ismail, dia mengakui artisnya itu telah mengalami penurunan berat badan beberapa kilogram kebelakangan ini.

"Saya melihat penurunan berat badan Alyah dari sudut yang positif, apatah lagi dia seorang selebriti. Kalau dulu berat badannya 52 kg, tetapi sekarang 45 kg.
"Memang ada yang memberi tanggapan yang negatif tentang hal ini dan ada yang mengatakan Alyah mengambil dadah, tapi hakikatnya Alyah terlalu sibuk dengan kerja selain menyudahkan beberapa lagu terbarunya.
"Sejak keluar dari program Mania terbitan Astro Mei lalu, jadual kerja Alyah semakin padat dan sesuai dengan strategi kami untuk menarik perhatian syarikat korporat untuk menyambil Alyah menyanyi, semakin itu jugalah dia semakin rajin bekerja," katanya yang menguruskan Alyah sepenuh masa.
Menurut Syuib, berbanding dahulu, kini corak pemakanan Alyah sangat berbeza.

"Kalau dulu Alyah suka mengambil nasi secara kerap dan dalam kuantiti yang banyak. Tetapi sekarang dia mengurangkan nasi dan mungkin hanya sekali dalam sehari. Maklum sajalahkan tekak orang Melayu memang tak sah kalau tak makan nasi.
"Untuk menyeimbangkan dietnya dan memberi dia lebih tenaga, Alyah telah mengambil beberapa jenis vitamin seperti multi vitamin, B complex dan makanan tambahan lain setiap hari. Alhamdulillah dia lebih bertenaga," katanya.

Syuib juga tidak menafikan, mungkin langkah Alyah memotong rambut pendek telah menyebabkan dia kelihatan lebih langsing dan agak kecil berbanding dulu.
Alyah telah tampil dengan single terbaru berjudul Pesananmu ciptaan Azlan Abu Hassan dan lirik Habsah Hassan.
Sesuai dengan strategi pemasaran terbarunya untuk menarik perhatian syarikat korporat, kulit album single berkenaan telah menampilkan Alyah dengan gaya sophisticated, kemas dan bersih yang diilhamkan oleh Annay H (Yana Husin) dan solekan dari Bosco Ryzal.


Responses

0 Respones to "Alyah Telan Vitamin Untuk Kurus"

Return to top of page Copyright © 2013 | ambooyat.com