Pengasas Aura Seri Disamun RM500,000, Pembantu Rumah Larikan Diri




Datin Ira Ghani dan suaminya Datuk Dr Ibrahim Ahmad menunjukkan bekas barang kemas yang kosong dikebas pembantu rumah sendiri.
KUALA LUMPUR: Pengasas produk kecantikan Aura Seri kerugian kira-kira RM500,000 selepas dua pembantu rumahnya melarikan pelbagai barangan berharga termasuk jam berjenama, barang kemas, telefon bimbit serta wang tunai dari kediamannya di Medan Idaman, Gombak pada Ahad lepas.
Datin Ira Ghani, 35, berkata kejadian berlaku ketika beliau dan suami Datuk Ibrahim Ahmad, 46, berada di Singapura atas urusan kerja namun, dua anaknya Mohd Danish Irfan, 13, dan Mohd Danish Roshan, 8, serta seorang anak saudara berada di rumah teres tiga tingkat itu.
"Saya dimaklumkan mengenai kejadian ini selepas anak sulung saya Mohd Danish Irfan, yang menghantar mel suara kepada saya untuk memberitahu kedua-dua pembantu rumah saya sudah melarikan diri.
"Anak-Anak saya turut menyedari dua telefon bimbit iPhone dan dua iPad milik mereka yang diletakkan di ruang tamu juga hilang," katanya pada sidang akhbar bersama Ibrahim di kediaman mereka, Selasa.
Luluk Tanjiyah
Berikutan kejadian itu, beliau dan suami kembali ke Kuala Lumpur semalam dan membuat laporan di Balai Polis Gombak pada 11.25 malam.
Ira berkata pemeriksaan lanjut mendapati mereka kehilangan 11 jam tangan berjenama termasuk Rolex dan Tag Heuer, 20 bentuk cincin, seutas rantai, dua pasang subang permata, empat telefon pintar, 30 helai kemeja-t berjenama, dua tas tangan Bvlgari dan Louis Vuitton, wang tunai RM5,000 serta pasport dan permit kerja kedua-dua pembantu rumah itu.
Beliau berkata ketiadaan rakaman kamera litar tertutup di kediamannya menyukarkan mereka melihat gambaran sebenar kejadian itu, tetapi percaya kedua-dua pembantu rumah tersebut melarikan diri melalui pintu dapur.
Mereka juga meninggalkan kunci rumah di dalam peti sejuk manakala alat kawalan jauh pagar rumah diletakkan dalam peti surat.
Kedua-dua pembantu rumah itu, yang berasal dari Jawa Barat, dikenali sebagai Luluk Tanjiyah, 32 dan Udayati, 40, akan menamatkan kontrak bekerja masing-masing pada Ogos dan November depan.
"Anak saya turut menjumpai beg plastik berisi pakaian kedua-dua pembantu rumah itu yang dibuang di dalam tong sampah rumah kami," katanya.
Udayati
Ira berkata beliau hairan bagaimana pembantu rumah itu memasuki bilik tidurnya kerana ia berkunci serta membuka pintu almari, yang juga berkunci.
"Keadaan di dalam bilik tidur kami juga seperti biasa tanpa ada tanda digeledah... semuanya terletak pada kedudukan asal," katanya.
Mengimbas keadaan di kediamannya sejak kedua-dua pembantu rumah itu bekerja setahun lepas, beliau menyedari sering kehilangan wang awal tahun ini dan jumlahnya mencecah RM15,000.
Ira berkata berikutan laporan polis yang dibuatnya, Jabatan Imigresen telah membatalkan permit dan pasport pembantu rumahnya selain memaklumkan kejadian itu kepada ejen pembantu rumah di Indonesia.Bagaimanapun, beliau berkata mereka gagal mengesan Luluk dan Udayati di rumah masing-masing di Surabaya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut


Responses

0 Respones to "Pengasas Aura Seri Disamun RM500,000, Pembantu Rumah Larikan Diri"

Return to top of page Copyright © 2013 | ambooyat.com