Anak Jutawan Jadi Mangsa Culik Inspektor Polis




SHAH ALAM – Trauma seorang anak jutawan yang dikurung dalam sebuah rumah di Rawang dekat sini selepas diculik sekumpulan lelaki yang meminta wang tebusan RM1.5 juta dipercayai didalangi seorang Inspektor polis berakhir apabila dia diselamatkan kelmarin.
Mangsa culik seorang lelaki berusia 34 tahun dan bekerja sebagai pengurus projek di sebuah syarikat pembinaan milik bapanya diselamatkan pada pukul 6.30 pagi selepas dia diculik pada 22 Mac lalu.
Bapa mangsa yang berusia 60 tahun merupakan pengarah urusan sebuah syarikat pembinaan.
Mangsa semasa diselamatkan tidak mengalami kecederaan teruk. Dia yang lemah dan ketakutan dihantar ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan.
Polis menemui semula wang tunai berjumlah RM275,850 daripada jumlah RM300,000 wang pendahuluan bayaran tebusan oleh keluarga mangsa kepada kumpulan penculik terbabit.
Kumpulan penculik itu, meminta wang tebusan sebanyak RM1.5 juta daripada keluarga mangsa namun keluarga itu dibenarkan membuat bayaran secara berperingkat.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, ekoran pembebasan mangsa, sembilan lelaki termasuk seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman ditahan kelmarin bagi membantu siasatan.
Menurut beliau, dalam operasi sama, polis turut merampas tiga buah kereta iaitu Proton Gen 2, Proton Waja dan Honda Odyssey.
Turut dirampas sebuah treler, topeng ski, telefon bimbit, iPad dan kunci kereta.


Responses

0 Respones to "Anak Jutawan Jadi Mangsa Culik Inspektor Polis"

Return to top of page Copyright © 2013 | ambooyat.com