Wanita hamil maut ditikam suami sendiri




 
KUALA LUMPUR — Seorang wanita ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di bahagian badan serta luka di tangan dipercayai dibunuh suaminya di ruang tamu rumah di Pangsapuri Permai, Sungai Besi di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohan Singh Tara Singh berkata, dalam kejadian 6.41 petang itu, wanita berusia 28 tahun berkenaan ditemui dalam keadaan berlumuran darah akibat daripada kesan tikaman.
"Mangsa yang merupakan seorang pekerja swasta yang tinggal di pangsapuri berkenaan dalam tiga ke empat bulan lepas telah dibunuh di dalam rumah itu dan polis tidak menolak kemungkinan ia dilakukan oleh suami mangsa.
"Ketika polis tiba di tempat kejadian, seorang lelaki berusia 42 tahun iaitu suami mangsa berada berhampiran tubuh isterinya yang sudah tidak bernyawa,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Katanya siasatan awal polis menemui sebilah pisau dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Mohan berkata, polis masih menyiasat punca sebenar kejadian bagaimanapun tidak menolak ia berpunca daripada perselisihan faham suami isteri.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bedah siasat dan suspek ditahan reman bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Responses

0 Respones to "Wanita hamil maut ditikam suami sendiri"

Return to top of page Copyright © 2013 | ambooyat.com