Ustaz menyebabkan kematian pelajar terima hukuman





ALOR SETAR 6 Mac - Seorang ustaz yang juga warden asrama mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan kematian pelajar berusia tujuh tahun, Saiful Syazani Saiful Sopfidee di Arau, Perlis pada tahun lalu.


Hanif Mohd. Ali, 27, membuat pengakuan tersebut di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd. Zaki Abdul atas tuduhan pindaan menyebabkan kematian kanak-kanak itu di bilik warden asrama putera Sekolah Rendah Agama Al-Furqan, Arau antara pukul 6 petang dan 12 tengah malam, 31 Mac 2011.
Pertuduhan terhadap lelaki tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda.
Hanif sebelum ini dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh dengan niat namun dipinda kepada menyebabkan kematian selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan asal di akhir kes pendakwaan.
Mohd. Zaki menetapkan esok untuk menjatuhkan hukuman.
Pada prosiding hari ini, Mohd. Zaki berkata, beliau menerima pengakuan salah tertuduh yang dibuat secara sukarela sekali gus menyabitkannya di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.
Dalam rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, Hanif memohon maaf kepada semua pihak yang terlibat dan merayu agar hukuman diringankan dengan alasan dia menjaga ibu bapa yang uzur selain masih menanggung hutang peribadi serta pengajian.
''Saya mohon maaf Yang Arif dan apa-apa yang berlaku adalah sesuatu yang di luar jangkaan saya. Berilah saya peluang baiki diri dan bertaubat,'' katanya yang kelihatan sebak sambil menekup mukanya dengan kedua-dua belah tangan.
Peguam tertuduh, Azizul Shariman Mat Yusof turut memohon hukuman ringan dijatuhkan ke atas anak guamnya memandangkan umur Hanif yang masih muda dan ia adalah kesalahan pertama tertuduh selain pengakuan bersalah lelaki itu.
''Tertuduh mula mengajar di Sekolah Rendah Agama Al-Furqan, Arau sejak tahun 2008 dengan gaji kira-kira RM800 yang sebahagiannya digunakan untuk menanggung kedua ibu bapa berusia 76 dan 56 tahun serta seorang adik yang masih bersekolah,'' katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal kerana kesalahan dilakukan tertuduh amat serius iaitu mengikat, memukul dan mencekik mangsa yang baru berusia tujuh tahun sehingga menemui ajal.
Pendakwaan turut diwakili Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Najib Zakaria, Nadia Hanim Mohd. Tajuddin dan Azhar Mokthar manakala tertuduh diwakili lima peguam terdiri daripada Arif Azami Hussein, Mohamed Hanipa Maidin, Mohd. Fikri Abdul Rahman, Zulmi Sabri selain Azizul Shariman.
Dalam kejadian itu, Saiful Syazani koma selama tiga hari sebelum meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di sini pada pukul 5.40 pagi, 3 April 2011 dipercayai akibat dipukul warden asrama terbabit ketika menyiasat satu kes kecurian di asrama sekolah itu.


Responses

0 Respones to "Ustaz menyebabkan kematian pelajar terima hukuman"

Return to top of page Copyright © 2013 | ambooyat.com