Pembantu Rumah Indonesia Demand Gaji Minimum RM700




 
Indonesia pada Khamis mula melatih pembantu rumah untuk dikirim ke Malaysia di mana mereka hanya akan melakukan satu tugas yang khusus dengan gaji minimum RM700.
Jika seorang pembantu rumah itu diambil untuk menjadi tukang masak, ia akan hanya menjalankan tugas memasak dan tugas-tugas berkaitan sebagai tukang masak dan tidak akan menjalankan tugas-tugas lain seperti mengasuh bayi dan sebagainya.
Inilah antara hasil yang dicapai pada pertemuan Pasukan Petugas Bersama (JTF) Malaysia-Indonesia mengenai pengambilan, penempatan dan perlindungan pembantu rumah Indnonesia serta majikan Malaysia di sini, Khamis.
Ketua Pengarah Pembinaan dan Penempatan Tenaga Kerja, Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia Dr Reyna Usman berkata JTF pada Khamis mencapai kesepakatan terhadap empat jawatan khusus untuk pembantu rumah Indonesia iaitu tukang masak, pengasuh bayi, penjaga orang tua dan pengemas rumah.
Dengan kesepakatan ini, kata beliau 106 pembantu rumah Indonesia mula dilatih selama 200 jam atau 21 hari mulai Khamis dengan kemahiran khusus masing-masing.
Dalam erti kata lain, majikan yang memerlukan pembantu rumah Indonesia untuk menjalankan kesemua empat tugas itu, harus mengambil empat pembantu rumah yang khusus terlatih dalam kemahiran masing-masing.
Dr Reyna berkata kesepakatan dalam soal jawatan khusus itu diharap dapat mengelakkan masalah seperti yang telah berlaku di masa lalu.
Katanya pada masa ini 12 daripada 176 agensi pekerjaan Indonesia bersedia melatih pembantu rumah berkenaan manakala di Malaysia lima daripada 221 agensi pekerjaan pula bersedia untuk menguruskan penempatan mereka dengan majikan di Malaysia.
"Pada masa ini sebahagian besar daripada calon pembantu rumah berkenaan sedang dilatih di Surabaya, Jawa Timur dan di Bekasi, Jawa Barat," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat itu di Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia di sini.
Beliau berkata selepas pengiriman kumpulan pertama 106 pembantu rumah itu, ribuan lagi dapat dikirim ke Malaysia, dengan anggaran antara 4,000 hingga 5,000 orang sebulan.
Setakat ini belum ada seorangpun pembantu rumah Indonesia dikirim secara rasmi ke Malaysia sejak Indonesia menarik balik moratorium pengiriman pembantu rumahnya ke Malaysia pada 1 Disember tahun lalu.
Pembekuan sementara itu ditarik balik berikutan kesepakatan yang dicapai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono pada pertemuan di Lombok, Nusa Tenggara Barat pada Oktober dan di Bali pada November tahun lalu.
Indonesia melaksanakan pembekuan sementara itu pada 26 Jun 2009 berikutan beberapa kejadian penderaan terhadap pembantu rumah Indonesia oleh majikan Malaysia.
Pada 30 Mei tahun lalu, kedua-dua negara menandatangani protokol bagi meminda MoU Mengenai Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia 2006, dengan memperkemaskan peruntukan-peruntukan, terutamanya berkaitan perlindungan dan kesejahteraan untuk pekerja dan majikan.
Antara persetujuan yang dicapai, kos pengambilan pembantu rumah ditetapkan pada RM4,511 dan majikan hanya boleh mengambil balik RM1,800 yang dibayar terlebih dahulu bagi pihak pekerja mereka kepada agensi pekerjaan.
Selain itu pembantu rumah akan diberi satu hari cuti setiap minggu dan mereka dibenarkan memegang pasport sendiri


Responses

1 Respones to "Pembantu Rumah Indonesia Demand Gaji Minimum RM700"

alina ritz1 said...

kalau dah cuti seminggu sekali, pegang pasport sendiri pulak tu.. wah2.. memang naik lemak ler pembantu indon tu nanti..


March 16, 2012 at 9:20 AM
Return to top of page Copyright © 2013 | ambooyat.com