PBNS jual tiket RM30 | Final Piala Malaysia Negeri Sembilan vs Terengganu






PRIHATIN dengan nasib para penyokong Negeri Sembilan yang terbeban dengan harga tiket final Piala Malaysia yang mahal, Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) mengambil keputusan untuk menjual tiket tersebut dengan harga RM30.


Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keputusan itu dibuat dalam satu mesyuarat tergempar di Seremban malam tadi.
Ia bagi membincangkan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menetapkan harga tiket final Piala Malaysia sebanyak RM50 bagi semua tempat duduk termasuk grandstand.
Harga tiket bagi kanak-kanak berusia bawah 12 tahun pula dijual pada harga RM5 seorang bagi kesemua tempat duduk.
Mohamad berkata, keputusan untuk menurunkan harga tiket itu diambil oleh PBNS selepas banyak pihak terutama penyokong setia kedua-dua pasukan merungut dengan harga tiket tersebut.
"Keputusan ini adalah hadiah yang dapat PBNS berikan kepada penyokong yang selama ini setia memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada pasukan Negeri Sembilan.
"Apatah lagi, mereka (penyokong) turun beramairamai memberi sokongan kepada pasukan kesayangan mereka sepanjang tiga tahun Negeri Sembilan beraksi di pentas final," katanya di Seremban semalam.
Terdahulu, FAM telah memperuntukkan sebanyak 30,000 tiket kepada PBNS untuk dijual kepada peminat dan penyokong skuad Hoben Jang Hoben.
Mohamad yang juga Menteri Besar berkata, peminat yang sudah membeli tiket pada hari pertama kelmarin dan semalam dengan harga RM50 boleh menuntut baki lagi RM20 di Wisma PBNS dan Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi hari ini.
"Pihak PBNS dan stadium akan memulangkan baki wang tersebut menerusi nombor siri yang tertera pada tiket masing-masing.
"Mereka yang telah membeli hanya perlu menunjukkan tiket kepada petugas di setiap lokasi jualan di negeri ini," ujarnya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa penurunan harga tiket itu tidak termasuk baki tiket yang dijual di Stadium Shah Alam.
Kosmo! semalam melaporkan sebilangan besar penyokong Negeri Sembilan tiada mempunyai pilihan, malah terpaksa akur dengan keputusan FAM membeli harga tiket pada harga yang agak mahal demi menyaksikan aksi final Piala Malaysia Sabtu ini.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin memaklumkan hanya 65,000 keping tiket sahaja yang dicetak untuk final kali ini.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 30,000 tiket akan diagihkan sama rata kepada kedua-dua pasukan untuk dijual di lokasi masing-masing, manakala baki 5,000 tiket lagi akan dijual di Stadium Shah Alam pada Sabtu ini.


Responses

0 Respones to "PBNS jual tiket RM30 | Final Piala Malaysia Negeri Sembilan vs Terengganu"

Return to top of page Copyright © 2013 | ambooyat.com